Friday, June 24, 2011

Doa Para Leluhur



Doa seorang budak lelaki yang soleh dari Kisah Ashabul Ukhdud (غلام أصحاب الأخدود). Kisahnya amat mengagumkan. Boleh rujuk dalam tafsir Surah al-Buruj (سورة البروج) untuk kisahnya yang panjang. Disebut dalam Hadith Sahih Muslim bahawa budak lelaki ini berdoa dengan lafaz dibawah sehingga segala rancangan membunuhnya tergendala. Sehinggalah beliau membuka satu rahsia iaitu hendaklah membunuhnya dengan menyebut, ‘Dengan nama Allah, tuhan budak ini, aku bunuh budak ini - باسم الله، رب هذا الغلام أقتل هذا الغلام’ lantas dipanah barulah budak ini meninggal dunia. Lantas sekalian rakyat yang melihat peristiwa tersebut menyahut beramai-ramai, “Kami beriman dengan Tuhan budak ini”. Berang dengan demontrasi besar-besaran atas pembantaian budak tersebut, rakyat sudah mengetahui rahsia pemerintahan raja yang zalim beserta juaknya. Segala helah dan gula-gula raja tidak menjadi. Sebagai langkah terakhir mengekalkan pemerintahan rakyat dizalimi dan dipaksa menganut agama kuffar, mengakui raja sebagai tuhan.


Rakyat yang sudah bebas merdeka tetap mengakui bahawa Allah-lah Tuhan yang mereka sembah dengan sebenar-sebenar sembahan, tiada lagi sumpah palsu, rasuah tidak dapat lagi membeli undi! Tidak dapat tidak rakyat disumbat ke dalam tahanan tanpa dibicara. Mana-mana yang masih berdegil.......juak raja zalim tadi mengusulkan idea bernas, “Kita humban saja dalam api Tuanku, biar mereka rasa dahsyatnya neraka, menentang pemerintah adalah neraka balasannya, mereka ingat dengan slogan beriman pada Allah boleh masuk syurga, ketua pemimpin rakyat ini menggula-gula mereka dengan janji syurga...tu pun sudah mati ditangan Tuanku”.

Akhirnya pada hari yang ditetapkan dibina parit besar, dalamnya menyala api besar, dihumban seorang demi seorang ke dalamnya. Sehinggalah sampai pada seorang ibu yang masih punyai anak menyusu.

“Tengoklah perempuan ini, tidak layak bergelar ibu! Dia sanggup membawa anaknya ke demontrasi rakyat, sepatutnya tempat ibu di rumah mendidik anaknya agar membesar dapat membangunkan negara!”, kata seorang pemimpin wanita yang menyebelahi raja zalim tadi.

Tiba-tiba bayi ini boleh bercakap, “Jangan takut wahai ibuku, kamu dipihak yang benar, terjunlah! Jangan gentar! Allah bersama kita!.”

Doa budak lelaki tersebut ialah:

اللهم اكْفِنِيْهِمْ بِمَا شِئْتَ

Ertinya: Ya Allah balaslah perbuatan mereka dengan kehendak-Mu Ya Allah.

Setengah ulama menambah:

اللهم اكْفِنِيْهِمْ بِمَا شِئْتَ وَحَيْثُمَا شِئْتَ وَكَيْفَمَا شِئْتَ وَأَيْنَمَا شِئْتَ

Ertinya: Ya Allah balaslah perbuatan mereka dengan kehendak-Mu Ya Allah, dimanapun Engkau kehendaki, bagaimana pun cara Engkau kehendaki dan dimana-mana pun Engkau kehendaki.

Maka barangsiapa yang dizalimi, sedang dikepong, perbanyakkanlah membaca doa ini.